PUTRAJAYA : Seramai 400 petugas Parlimen mula diberikan suntikan vaksin bermula hari ini sebagai persediaan pembukaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan ditentukan tidak lama lagi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksin itu diberikan menerusi pusat pemberian vaksin (PPV) di sekitar ibu negara.
Beliau berkata, suntikan vaksin itu turut membabitkan kakitangan Parlimen dan staf terbabit dengan pencucian dan katering.
“Kami mahu memastikan setiap petugas Parlimen mendapat perlindungan sewajarnya bagi mengelak daripada jangkitan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Khairy menjelaskan, staf yang akan mengiringi Ahli Parlimen juga layak menerima suntikan vaksin berkenaan.
Khairy Jamaluddin berkata, beliau berharap kesemua petugas Parlimen itu mendapat suntikan vaksin sebaik sahaja Parlimen bersidang kelak.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim akan meyakinkan Perdana Menteri yang juga Ketua Majlis untuk mengadakan Sidang Khas Parlimen sebelum 1 Ogos ini.
Cadangan itu susulan daripada majlis menghadap Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.
Sementara itu, Khairy berkata, satu ciri baharu di Helpdesk MySejahtera diperkenalkan bagi memudahkan pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara memohon vaksinasi awal.
Menurutnya, ciri baharu yang dikemas kini itu sudah boleh diakses sejak 28 Jun lalu.
“Permohonan vaksinasi awal yang dihantar akan diproses oleh sistem dalam masa 10 hari dan statusnya boleh disemak selepas tempoh tersebut di laman vaksinasi aplikasi MySejahtera pemohon.
“Permohonan perlu disertakan bersama dengan dokumen sah yang boleh menyokong permohonan vaksinasi awal mereka. Dokumen yang sama perlu dibawa ke PPV ketika hadir bagi janji temu untuk pengesahan,” katanya.
Katanya, pengenalan ciri terbaharu ini adalah memastikan kelancaran urusan kumpulan pelajar yang perlu memenuhi syarat vaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke negara lain untuk memulakan atau meneruskan pembelajaran di pusat pengajian masing-masing.
Jelasnya lagi, semua permohonan untuk perjalanan ke luar negara bagi tujuan pekerjaan, perubatan ke luar negara, sakit kritikal dan lain-lain masih perlu dihantar ke [email protected]. -UTUSAN ONLINE