PETALING JAYA: Seramai 25 daripada 65 Ahli Dewan Negara mungkin tidak dapat menyertai sidang Parlimen secara hibrid kerana tempoh perkhidmatan mereka akan berakhir tidak lama lagi.
Jumlah itu meliputi 11 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 daripadanya pula adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong yang kebanyakannya akan menamatkan khidmat pada Julai dan Ogos ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Senator Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff yang akan tamat tempoh berkhidmat pada 26 Ogos ini, berkata, kelewatan mengadakan sidang Parlimen hanya menyebabkan ahli Dewan Negara terlibat seperti dinafikan suara mereka.
Sedangkan, katanya, ahli Dewan Negara turut mewakili suara dari negeri-negeri dan golongan yang penting.
“Tempoh perkhidmatan ahli Dewan Negara sudah diatur dengan baik tetapi penubuhan jawatankuasa, tempoh mengkaji penggunaan teknologi dan sebagainya untuk diadakan sidang Parlimen, ini satu kelengahan yang tidak wajar.
“Hayat Parlimen bergantung kepada sokongan rakyat, jika sidang Parlimen terus dilengah-lengahkan, saya khuatir lama-kelamaan kepercayaan rakyat akan terjejas. Dalam keadaan kita sedang berdepan dengan pelbagai krisis, janganlah sampai mengkrisiskan Parlimen pula,” katanya.
Beliau mengulas cadangan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya sidang Parlimen hibrid diadakan akhir Ogos atau minggu pertama September ini. – UTUSAN ONLINE










