13 Jun diisytihar Hari Puisi Malaysia - Utusan Malaysia

13 Jun diisytihar Hari Puisi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : 13 Jun setiap tahun akan menjadi tarikh keramat kepada penggiat puisi tanah air apabila tarikh  berkenaan dipilih sebagai Hari Puisi Malaysia yang akan diisytiharkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk  Nancy Shukri dalam majlis Semarak Puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) esok.

Presiden Pemuisi, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, cadangan mengisytiharkan satu hari khas untuk bidang puisi dibuat sebagai usaha memartabatkan bidang puisi sebagai satu cabang kesusasteraan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat.

DR RADZUAN IBRAHIM

 “Puisi merupakan satu genre yang semakin digemari dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.  Puisi juga adalah cerminan bangsa dan menjadi faktor penting dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang cintakan negara, hidup harmoni dan berbudaya tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, selama ini masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun selepas diisytiharkan pada Persidangan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) ke-30 di Paris pada 1999. 

“Namun sehingga kini, masih belum ditetapkan satu hari khusus sebagai Hari Puisi di Malaysia   sedangkan di Indonesia telah wujud Hari Puisi Nasional yang disambut pada setiap 28 April.  Begitu juga di beberapa negara lain di dunia.

 “Melihatkan kepentingan puisi dalam pembangunan sosial dan sahsiah diri masyarakat, Pemuisi amat sukacita mencadangkan agar diwujudkan satu hari khusus iaitu Hari Puisi Malaysia yang akan disambut setiap tahun,” tambahnya.

Sempena perisytiharan Hari Puisi Malaysia, DBP dan Pemuisi akan mengadakan acara Malam Semarak Puisi secara maya dan akan disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam esok menerusi  laman Facebook, Instagram dan Twitter Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta Facebook Pemusi Berkarya. 

Ramai tokoh pemuisi akan terlibat antaranya termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Dr Radzuan, Dr, Abang Patdali Abang Muhi (DBP) Datuk Jasni Matlani (Presiden Badan Bahasa Dan Sastera Sabah),  Dr Hanafi Ibrahim (Timbalan Presiden Pena) dan Zaleena E-naa (Setiausaha Agung Pemuisi)

Yang turut terlibat Datin Seri Haryani Harun, Dr Raja Rajeswari, Mohd Shareezad Sajad,  Letfee Ahmad, Sani Sudin, Datuk Hashim Yaacob, (bekas Naib Canselor Universiti Malaya Amiruddin Ali (Gapena), Maslinah Yusof, Siso (Kopratasa), Datuk Rahman Shaari yang juga, Presiden Persatuan Penyair Malaysia dan Puzi Hadi

Tokoh-tokoh lain antaranya Azmi Ismail, Marzelan Md. Jusoh, Roslan Madun, Dr. Lim Swee Tin,  Nurul Syahida, Harlym Yeo, Yuzailan Yunus dan Adiwangsa Sukma.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.