LUMUT: Dua belas individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di dua lokasi berbeza di sekitar daerah Manjung semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, bagi kes pertama , seramai 10 lelaki berumur lingkungan 13 hingga 30 tahun dikompaun kerana melakukan aktiviti rekreasi di pantai sekitar kawasan Segari.
“Dalam kes berasingan, dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 24 tahun dikompaun kerana bermain sepak takraw di gelanggang sepak takraw di sekitar Ayer Tawar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nor Omar, kesemua 12 individu dikompaun RM2,000 setiap seorang di bawah kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan (Peraturan 16) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2021 (No.3).
“Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kadar penularan Covid-19 dapat diputuskan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE