PETALING JAYA: Warga emas berusia 60 tahun ke atas di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri di Sarawak boleh melakukan tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca bermula 12 tengah hari ini.
Mereka yang ingin secara sukarela boleh mendaftar melalui http://vaksincovid.gov.my.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, pendaftaran pusingan kedua pengambilan vaksin AstraZeneca akan dibuka untuk warga emas melibatkan penduduk Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri.
Pusingan pertama pendaftaran vaksin sama telah dibuka pada 2 Mei sekali gus menyaksikan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam 20 minit selepas pendaftaran mula dibuka pada pukul 12 tengah hari.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini dilaporkan berkata, fasa kedua akan dibuka khususnya warga emas 60 tahun ke atas bermula hari ini sehingga 26 Mei manakala hari berikutnya untuk bawah 60 tahun.
Malaysia kelmarin telah menerima 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca melalui kemudahan pelan peruntukan vaksin Covid-19 global atau COVAX.