UTM benar penuntut balik kampung beraya - Utusan Malaysia

UTM benar penuntut balik kampung beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr Shamsul Sahibuddin berkata, kebenaran itu susulan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan penuntut universiti pulang ke kampung.

Menurutnya, penuntut dibenarkan pulang bermula 7 hingga 12 Mei ini dan perlu pulang semula ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei ini.

“Walaubagaimanapun, penuntut yang pulang ke kampus dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menjalani isolasi selama 10 hari sekembalinya mereka ke kampus.

“Kebenaran ini tertakluk kepada penuntut yang akan pulang ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP sahaja kecuali Sarawak.

“Hal ini kerana penuntut yang berasal dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, penuntut yang kini berada di kawasan kampus boleh terus kekal berada di kawasan berkenaan.

Jelasnya lagi, penuntut yang mahu pulang ke kampung perlu mengisi borang khas untuk mendapat surat kebenaran balik kampung dan surat pergerakan rentas negeri daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). 

“Penuntut dibenarkan pulang menggunakan kenderaan sendiri atau dijemput ibu bapa, manakala bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan, universiti akan menyediakan kemudahan perkhidmatan bas melalui program ‘Jom Balik Kampung’.

“Kos pengangkutan bagaimanapun adalah di bawah tanggungan penuntut sendiri,” ujarnya.

Shamsul turut memberitahu, kebenaran ini diharap dapat memberikan kegembiraan kepada penuntut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. 

“Namun begitu, penutup tetap diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN