UMNO masih utamakan kepentingan rakyat - Utusan Malaysia

UMNO masih utamakan kepentingan rakyat

RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO masih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding soal menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika negara sedang berdepan dengan gelombang keempat jangkitan Covid-19.

Perkara itu dikatakan lebih penting walaupun terdapat menteri-menteri yang terdiri daripada Ahli Parlimen UMNO dilihat bekerja lebih keras berbanding anggota Kabinet lain terutama berhubung pemberian vaksin Covid-19.

Malah, kebanyakan anggota Kabinet yang bukan daripada UMNO termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak ke hadapan dalam membimbing rakyat dan negara untuk keluar daripada krisis pandemik ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii, ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia memberitahu, berikutan situasi yang dihadapi sekarang, UMNO perlu berfikiran jauh menentukan yang terbaik.

“Jadi, sebab itulah kita perlu berfikir lebih panjang, adakah UMNO perlu terus sokong kerajaan ini atau mana yang lebih baik untuk rakyat. Paling penting, apabila kita tarik diri daripada kerajaan ini, adakah perkara itu beri kebaikan kepada rakyat.

“Malah untuk bentuk kerajaan baharu, rakyat kena diutamakan. Menteri-menteri UMNO semua diberi tanggungjawab untuk melakukan paling terbaik dalam kabinet untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Bahagian UMNO Seputeh itu turut menolak dakwaan bahawa parti terbesar Melayu itu dibuli oleh kerajaan PN, walaupun menteri-menterinya dilihat bekerja lebih keras untuk menyelesaikan krisis Covid-19.

Menurutnya, menteri-menteri lain dilihat kurang memainkan peranan dan tanggungjawab dalam membantu rakyat keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

“Saya tak lihat UMNO atau menteri-menterinya dalam kabinet dibuli, cuma kita lihat kabinet Muhyiddin ramai yang lepas tangan dan tidak mahu ambil tanggungjawab terhadap krisis ini sepenuhnya.

“Kabinet bermesyuarat setiap hari, bagaimana kita hendak membantu sesama kita itu yang perlu difikirkan. Semua ini tidak berfungsi sebab menteri-menteri bukan UMNO tidak mahu mengambil tanggungjawab,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN