PETALING JAYA: UMNO melancarkan Tabung Muafakat Palestin sebagai usaha inisiatif parti itu membantu perjuangan rakyat Palestin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Jawatankuasa Pengurusan parti bersetuju mewujudkan tabung itu dengan memilih nama Muafakat Palestin.
Menurut beliau, tabung itu dilancarkan Jumaat lalu.
Katanya, nama itu dipilih sebagai melambangkan muafakat ahli UMNO dan rakyat Malaysia untuk membantu permuafakatan perjuangan Palestin yang berpanjangan berhadapan penjajahan dan kezaliman rejim Zionis.
“Presiden UMNO menyebut bersamalah kita menderma untuk perjuangan, kebajikan, pendidikan, pembangunan dan permuafakatan rakyat Palestin. Jika tidak banyak, maka berdermalah seberapa ikhlas yang anda mampu.
“Oleh demikian, mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian ke dalam akaun UMNO Tabung Muafakat Palestin itu melalui nombor akaun 8604750523 CIMB Islamic,” katanya.
Ahmad menambah, Tabung Muafakat Palestin ini dikendalikan Ibu pejabat UMNO Malaysia dan pihaknya bertanggungjawab menyampaikan derma berkenaan untuk manfaat rakyat Palestin.
Katanya, UMNO pada 2019 sudah melancarkan tabung untuk dana aktivitinya termasuk digunakan bagi bantuan mangsa banjir, bencana dan kini memerangi Covid-19 di bawah UMNO Tabung Perjuangan melalui akaun 8603257266 CIMB Islamic.










