KOTA KINABALU: Peniaga di sini terpaksa menurunkan harga dan hanya mengambil untung kecil bagi membolehkan barangan mereka dapat dijual.
Peniaga telur ayam, Salmi Sihat,33, berkata, jika sebelum ini telur ayam gred B dijual pada harga RM13 sepapan tapi, di bawah skim ini, harga siling yang ditetapkan adalah RM12 sepapan.
“Ada kalanya jika susah mahu jual, kami terpaksa kurangkan sedikit harga dan hanya mengambil untung sekitar 20 sen atau 30 sen sahaja.
“Sekarang biarpun sudah memasuki minggu terakhir Ramadan, tapi jualan telur masih lagi perlahan. Penutupan pasar malam dan bazar Ramadan antara penyumbang permintaan terhadap telur ayam,” katanya ketika ditemui hari ini.
Salmi berkata, sebelum pandemik Covid-19, dia mampu menjual 200 hingga 300 papan telur setiap hari namun, sejak pandemik melanda, jika dapat jual antara 50 hingga 150 papan setiap hari sudah dikira cukup baik.
Katanya, pengurangan permintaan terhadap telur berkurang hampir 60 hingga 70 peratus pada kali ini.
Dari segi pendapatan pula, sebelum ini dalam sebulan peniaga telur ayam boleh memperoleh sehingga RM6,000 sebulan tapi sekarang paling tinggi boleh memperoleh RM2,000.
Memasuki fasa kedua pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021, peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu dilihat menjual barangan mengikut harga kawalan yang ditetapkan.
Rata-rata peniaga menyambut baik langkah kerajaan menetapkan harga barangan terkawal lebih awal susulan harga di peringkat pemborong yang dilihat semakin meningkat terutama bagi telur ayam.
Sementara itu, peniaga ayam, Nur Arissa Sofia Abdullah,37, berkata, mereka perlu menjual pada harga siling yang ditetapkan kerana itu memang satu kemestian yang perlu peniaga patuhi setiap kali menjelang musim perayaan.

Sekarang untuk seekor ayam super dijual pada harga RM10 dan itu harga siling yang ditetapkan di bawah SHMMP HRP 2021.
Dari segi jualan, Nur Arissa berkata, menjelang tiga hari sebelum Aidilfitri, biasanya dia mampu menjual lebih 250 ekor ayam. Tapi, itu situasi sebelum pandemik Covid-19.
“Sepanjang Ramadan ini, dapat jual 100 ekor ayam dalam sehari pun sudah kira baik dan sempena Aidilfitri kali ini, mungkin permintaan terhadap ayam juga menurun berdasarkan keadaan semasa.
“Perayaan kali ini disambut dalam norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Dengan tiada rumah terbuka sempena Aidilfitri, jadi permintaan untuk ayam pasti tidak akan sebanyak tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Sejak pelaksanaan SHMMP HRP 2021 fasa pertama pada 21 April lalu, sebanyak 15 kompaun dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah atas pelbagai kesalahan. – UTUSAN ONLINE