Tikam rakan hingga mati kerana pijak kepala - Utusan Malaysia

Tikam rakan hingga mati kerana pijak kepala

BANGSAL tempat Mohd. Dailami ditikam hinggan maut oleh Man Siam di Kampung Arus, Kok Lanas, Kota Bharu semalam. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: “Aku tikam Lami.. Dia pijak kepala aku tengah tidur.”

Ayat itu disebut berulang kali Man Siam, pemuda warga Thailand berusia 20-an selepas dia menikam rakan sendiri dengan sebilah golok hingga mati dalam bangsal di ladang penternakan ayam di Kampung Che Arus, Kok Lanas, di sini semalam.

MOHD. DAILAMI ASHAARI

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, mangsa , 38 tahun , disahkan meninggal dunia dengan empat kesan tikaman di dada sebaik sahaja tiba di Hospital Machang, 15 minit selepas itu.

 

Saudara mangsa, Nasrul Muhaimin Mohd. Razali, 36, berkata, sebelum kejadian, dia tiba di lokasi bersama Mohd. Dailami bagi memulakan tugas sebagai pemandu lori untuk mengangkut ayam di situ.

“Sebaik sahaja tiba, arwah yang dikatakan berselisih faham dengan Man Siam terus meluru ke bangsal dihuni pemuda itu yang merupakan pekerja ladang.

“Tidak lama selepas itu, Man Siam datang memberitahu saya berulang kali dia dah tikam Lami (Dailami).. Lami pijak kepala, selain membelasah dia yang sedang tidur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Nasrul Muhaimin segera bergegas ke bangsal tersebut dan mendapati mangsa masih hidup terbaring dalam keadaan berlumuran darah lalu meminta bantuan saudara-mara lain yang tinggal berhampiran.

“Dalam keadaan kelam-kabut kami mahu menghantar arwah ke hospital, Man Siam sudah pun melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis berjaya menahan suspek yang menyorok dalam semak berhampiran lokasi kira-kira pukul 2.45 petang ini.

Katanya, punca kejadian masih disiasat dan suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya