Terengganu: Solat Aidilfitri dibenarkan dengan 40 jemaah lelaki - Utusan Malaysia

Terengganu: Solat Aidilfitri dibenarkan dengan 40 jemaah lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Solat sunat Aidilfitri di negeri ini dibenarkan dengan hanya 40 jemaah lelaki tidak termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, pelaksanaan solat Jumaat turut dibenarkan dengan hanya 40 jemaah tidak termasuk ahli jawatankuasa masjid sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Katanya, bagi solat fardu lima waktu pula jumlah jemaah tidak melebihi 20 orang di masjid dan surau seluruh negeri.

“Kehadiran jemaah ke masjid dan surau hanya dibenarkan dalam kalangan kariah yang bermastautin sahaja kecuali mana-mana individu yang mendapat kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Bukan warganegara tidak dibenarkan ke masjid atau surau sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain adalah dilarang semasa PKP di samping menziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, mana-mana masjid atau surau yang diarah tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

Sehubungan itu, beliau meminta jawatankuasa masjid dan surau agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di samping arahan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari semasa ke semasa.

“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa dukacita dan memahami kesulitan serta kesusahan rakyat terutama dalam suasana Hari Raya Aidilfitri. Baginda berharap semua rakyat bersabar dengan situasi ini dan berdoa semoga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya