GEORGETOWN: Solat Aidilfitri di Pulau Pinang esok akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu hanya 50 jemaah dibenarkan di masjid dan 20 jemaah di surau.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pemilihan jemaah pula ditentukan hari ini dan dipilih dalam kalangan ahli jawatakuasa (AJK) masjid atau surau, imam, bilal dan anak-anak kariah.
Jelas beliau, jemaah yang dibenarkan hadir adalah golongan lelaki berusia 15 tahun hingga 70 tahun dan berstatus warganegara atau penduduk tetap (PR).
“Jemaah hendaklah membawa sejadah bersaiz besar dan sentiasa memakai pelitup muka semasa berada di masjid atau surau,” katanya.
Sebelum ini, Pulau Pinang membenarkan solat Aidilfitri mengikut kapasiti masjid dan surau namun terpaksa dipinda berikutan pengumuman baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini sehingga 7 Jun depan.
Menurut Mohd. Zakuan, takbir hari raya pula dibenarkan di masjid dan surau dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid selepas solat Maghrib malam ini.
Namun jelasnya, jamuan makanan selepas solat hari raya tidak dibenarkan dan makanan berbungkus amat digalakkan.
Selain itu tambahnya, semua majlis ilmu, kuliah atau bacaan Yassin serta ziarah kubur juga tidak dibenarkan.
“Solat jenazah adalah dibenarkan dan pihak masjid juga perlu menyediakan ruang musafir bagi membolehkan pekerja-pekerja e-hailing atau musafir menunaikan solat,” katanya.