CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan tuduhan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung ‘arahan’ kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merampas telefon mudah alih milik beliau.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan, selaku agensi teknikal dalam membantu siasatan, pihak PDRM tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Sebaliknya jelas SKMM, pihaknya akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal, sesuai dengan keperluan siasatan secara telus tanpa sebarang agenda terlindung termasuk agenda politik.
SKMM juga menafikan wujudnya ‘unit khas’ untuk tujuan politik, gangguan politik, kempen sabotaj dan lain-lain seperti yang didakwa oleh Syed Saddiq dalam kenyataan beliau.
“Untuk makluman, SKMM berperanan mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (ASKMM) 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.
SKMM berkata, selain itu, susunan organisasinya dibentuk dan disusun bersesuaian dengan peranan kawal selia yang dilaksanakan oleh suruhanjaya tersebut.
“Dalam hal ini, SKMM ingin menjemput Syed Saddiq hadir ke suruhanjaya ini yang bersedia untuk memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasi yang juga boleh didapati di laman web rasmi,” katanya.










