BAGAN SERAI: Pucuk pimpinan parti lebih bijak untuk membuat pilihan mengenai calon yang akan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, yang menilai dan menentukan calon ialah pucuk pimpinan parti yang sudah tentunya akan mengkaji sebaik mungkin dari setiap sudut terutamanya kehendak dan pilihan rakyat di sesuatu tempat.
Beliau yang mengulas spekulasi Ketua Armada, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal akan bertanding di Parlimen Bagan Serai berkata, penerimaan rakyat terhadap seseorang pemimpin lebih penting untuk memastikan dipilih sebagai calon Bersatu pada PRU-15.
“Sebaliknya, jika orang luar yang datang ke sini hanya membantu empat lima kali dan terus beranggapan dirinya telah meraih hati rakyat bagi melayakkan dia diletak sebagai calon di sini, rasanya itu satu anggapan yang silap, perlu fikir semula.
“Rakyat di sini menilai kejujuran dan keikhlasan orang yang sentiasa berada bersama mereka dalam semua situasi, suka dan duka.
“Gerak kerja orang yang bakal menjadi calon adalah berdasarkan gerak kerja, amal dan baktinya menyantuni segenap lapisan yang bermula daripada hari pertama pemimpin itu menang selepas PRU-14, bukannya dari seseorang yang hanya nampak muka semasa menjelang pilihan raya sahaja,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kerian Permai di sini hari ini.
Mengenai Wan Fayhsal yang juga Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa kerap mengadakan program di Bagan Serai, Noor Azmi berkata, sesiapa saja boleh datang bantu rakyat terutamanya pada saat rakyat sedang menghadapi suasana getir akibat wabak Covid-19 ketika ini.
“Sesiapa saja boleh datang untuk menyantuni dan membantu rakyat di sini, ia amat dialu-alukan kerana faedahnya adalah untuk rakyat yang memerlukan secara keseluruhannya,” katanya.
Noor Azmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, beliau tidak mahu fokus kepada politik ketika negara berada pada saat getir melawan wabak Covid-19.
“Saya mahu beri tumpuan isu Covid-19 yang kesnya meningkat dan berusaha sebaik mungkin bersama warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani penularan wabak ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE