Siasat ‘jual beli’ wakil rakyat - Utusan Malaysia

Siasat ‘jual beli’ wakil rakyat

AWANG HUSAINI SAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat pemimpin politik yang terlibat dalam budaya ‘jual beli’ wakil rakyat dan rasuah sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan menjejaskan imej serta sistem pentadbiran negara.

Ini termasuk membuka semula kes-kes yang melibatkan pemimpin politik yang ‘melompat’ sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Putatan dari PKR, Awang Husaini Sahari berkata, semua pihak perlu menerima hakikat budaya beli wakil rakyat dalam urus tadbir negara memang wujud.

Malah katanya, beliau sendiri pernah ditawarkan dengan pelbagai imbuhan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Katanya, pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tentang rasuah dalam sistem politik negara sehingga menjejaskan kredibiliti urus tadbir kerajaan memang benar-benar berlaku.

“Selama ini kita mendengar dan menyaksikan sahaja isu-isu seperti ini, cuma buktinya tidak kelihatan. Tetapi percayalah, apabila ia diakui sendiri oleh tenaga eksekutif keselamatan negara, apa lagi yang perlu di­nafikan?

“Beliau tidak akan sesuka hati mengeluarkan kenyataan sedemikian jika ia tidak berlaku. Sebab itulah, saya menyeru lebih baik mandat diserahkan kembali kepada rakyat. Pakatan Harapan (PH) menang dulu tiada main beli-beli,” katanya di sini semalam.

Awang Husaini adalah antara lima pemimpin PKR yang ditawarkan pelbagai imbuhan untuk melompat parti kepada PN.

Beliau mendakwa mene­rima enam kali tawaran melalui panggilan telefon dari ‘orang tengah menteri’ untuk membe­lot de­ngan keistimewaan perolehan kewangan RM15 juta dan jawatan dalam kerajaan namun beliau menolaknya.

Senada dengan beliau, Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya yang juga pernah ditawarkan imbuhan sama berkata, sewajarnya pemberi dan penerima diheret ke muka pengadilan.

M. KARUPAIYA

Ini kerana katanya, selagi wujud budaya tawar-menawar dalam kalangan pemimpin politik, jenayah rasuah tidak akan berakhir.

“Mereka (kerajaan) tidak peduli pun sebaliknya hanya fikirkan kepentingan diri sahaja. Kena ingat, halal dan haram ini bukan dari aspek makanan sahaja bahkan perbuatan kita.

“Kalaulah Parlimen boleh bersidang, saya boleh suarakannya tetapi tidak dapat berbuat demikian. Seperti mana isu pelantikan Ketua Polis Negara, ia seharusnya dibincangkan di Parlimen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN