SHAH ALAM: Kerajaan negeri tidak menolak sekiranya kerajaan pusat mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh, tetapi ianya perlu dilaksanakan secara holistik kepada aspek kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.
Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, jika ingin melaksanakan PKP penuh, kerajaan pusat perlu melakukannya dengan disusuli beberapa langkah susulan.
Menurut Amirudin, laporan berhubung Selangor menolak PKP penuh adalah separa tepat kerana segala seluruh aspek perlu diteliti secara menyeluruh agar dapat seimbangkan dan memastikan kehidupan masyarakat berjalan baik.
“Kita hendak buat keputusan ‘lockdown’ (PKP penuh), bukan mudah. Jika dilaksanakan, apa pelan kita adakah ia untuk mempercepatkan vaksinasi. Itu semua perlu dilihat dan petugas kesihatan pun telah berjuang sejak awal tahun lalu.
“Saya melihat tiga kaedah iaitu PKP penuh iaitu duduk di rumah, kawalan prosedur operasi standard (SOP) dan vaksinasi. Namun, sehingga kini, SOP ditetapkan majoritinya gagal mematuhinya.
“Lockdown bukan tentang setuju atau tidak dan perlu dilihat secara menyeluruh. Keputusan dilakukan bukan petik jari, tutup dan buka contohnya seperti pembukaan sekolah dan bazar. Masalah tidak akan selesai jika tiada fokus pada pentadbiran dan perkara ini perlu diperjelaskan kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan SUK di sini hari ini.
Terdahulu, Amirudin mengumumkan kerajaan negeri menubuhkan Tabung Selangor Peduli Palestin yang akan dilancarkan menerusi Misi Selangor Peduli Palestin.
Kempen Misi Selangor Peduli Palestin akan digerakkan selama 10 hari dan mensasarkan kutipan RM1 juta dengan kolaborasi strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Peace Mission Malaysia.
Dalam pada itu, berhubung pembelian vaksin, Amirudin berkata, status proses pembelian kini telah hampir untuk mendapatkannya dan hanya perlu melibatkan beberapa langkah sahaja.
“Kita jangka proses pembelian sebulan dari sekarang iaitu pada Jun nanti. Pendaftaran dan pembelian adalah sebahagian daripada proses untuk kenalpasti jumlah yang akan diagihkan pada masa hadapan.
“Struktur agihan terdiri daripada dua kelompok iaitu percuma dan beli dengan kos. Ini adalah salah satu usaha untuk mempercepatkan usaha dilakukan kerajaan pusat,” ujarnya.
Hari ini, Malaysia merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 tertinggi iaitu 6,075 kes berbanding semalam hanya 4,865 kes dengan 47 kematian.
Jumlah tersebut menyaksikan Selangor penyumbang terbesar kes positif iaitu 2,252 kes berbanding semalam 1,743 kes.- UTUSAN ONLINE










