Rumah kosong dijilat api, penduduk lari bertempiaran - Utusan Malaysia

Rumah kosong dijilat api, penduduk lari bertempiaran

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebuah rumah tanpa penghuni di Kampung Rawana, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kira-kira 15 penduduk Kampung Rawana, Jalan P. Ramlee di sini lari menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kampung tanpa penghuni berhampiran kediaman mereka petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, semua penduduk yang masing-masing dikatakan sedang berehat di dalam rumah dikejutkan dengan jeritan api oleh seorang penduduk dari luar rumah. 

Penduduk terbabit yang menyedari api dari bahagian tengah rumah itu semasa melalui kawasan berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada jiran berdekatan untuk membantu menghubungi pasukan bomba. 

Difahamkan, kediaman berkenaan ditinggalkan penghuninya sejak lebih 10 tahun lalu. 

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 3.24 petang tadi dan tiba kurang 10 minit kemudian. 

Menurutnya, kebakaran yang melibatkan sebuah rumah kelas C dengan anggaran keluasan 80 kaki persegi itu musnah terbakar sehingga 90 peratus. 

Jelasnya, pasukan bomba mengambil masa hanya 14 minit untuk mengawal serta memadamkan kebakaran terbabit. 

“Penduduk mendakwa kejadian berlaku kemungkinan berpunca daripada aktiviti terlarang iaitu bermain mercun atau penyalahgunaan dadah dalam kediaman tersebut. 

“Kejadian kebakaran itu turut melibatkan kemusnahan sebuah motosikal yang ditinggalkan berdekatan kediaman itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kebakaran itu. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN