PUTRAJAYA: Peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah termasuk jumlah keseluruhan kos pelaksanaan program itu.
Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) berkata, peruntukan bagi pembelian vaksin hanya meliputi jumlah sebanyak RM3.5 bilion sebagaimana dijelaskan dalam kenyataan media sebelum ini.
Jelasnya, pada ketika ini, jumlah itu adalah mencukupi untuk memberikan vaksin kepada 120 peratus populasi negara meliputi 38.5 juta penduduk.
“Kebanyakan pembelian vaksin adalah melibatkan dua dos sekali gus jumlah pembelian dos adalah sebanyak 73.5 juta dos dan bukannya sebanyak 32 juta dos sebagaimana didakwa oleh seorang pengguna Facebook, Irwan Sanei yang gagal menggandakan dua kali jumlah populasi (dua dos).
“Segala dakwaan Irwan Sanei yang dikongsi secara meluas di media sosial hari ini adalah jelas tidak benar dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut CITF, sebagai perbandingan dengan Singapura, negara terbabit telah membelanjakan SGD1 bilion (RM3.1 bilion) untuk 507 juta populasi mereka (11.4 juta termasuk dua dos yang diperlukan untuk keperluan vaksinasi).
Katanya, perkara itu boleh dirujuk melalui laporan berita dari negara tersebut, businesstimes.com yang boleh dicapai menerusi https://www.businesstimes.com.sg/government-economy/over-s1b-to-secure enough-vaccines-by-q3-2021-all-citizens-long-term-residents-to.
Selain itu, CITF turut memaklumkan, Amerika Syarikat (AS) telah melaporkan bahawa mereka membayar sejumlah AS$1.95 bilion (RM8.07 bilion) untuk 100 juta dos vaksin Pfizer.
Laporan itu boleh dirujuk menerusi laporan agensi berita antarabangsa Reuters, yang boleh dicapai di https://www.reuters.com/article/amp/idUSKCN24N1I9
Justeru, katanya, berdasarkan maklumat-maklumat tersebut, perolehan bekalan vaksin Malaysia adalah adil dan lebih kompetitif daripada negara lain.
“Kami telah membuat laporan polis terhadap Irwan Sanei kerana menyebarkan berita palsu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










