BANGI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menggunakan kira-kira RM5 bilion bagi projek pembangunan ekonomi dan prasarana sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.
Timbalan Menteri II kementerian, Datuk Henry Sum Agong berkata, jumlah itu merupakan 92 peratus daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.5 bilion merangkumi pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membantu menyediakan rumah selesa dan selamat kepada golongan miskin serta miskin tegar.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 8,291 rumah dibaik pulih dan 1,428 rumah dibina baharu yang memberi manfaat kepada lebih 48,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pelancaran platform pembelajaran digital dikenali sebagai platform KPLB Learning Hub di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.
Seramai 1,300 pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi di bawahnya akan dilibatkan dalam pembelajaran digital mulai bulan ini hingga April tahun depan selama 12 bulan.
Henry berkata, bagi pembangunan prasarana pula, kementerian membina jalan luar bandar sepanjang 182.85 kilometer yang memberi manfaat kepada 42,700 penduduk di kawasan luar bandar untuk ke kawasan-kawasan bandar atau ke tempat-tempat awam lain.
“Selain kemudahan jalan raya, bekalan air bersih juga penting untuk dinikmati semua lapisan rakyat.
“Kementerian menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada 10,917 buah rumah yang memberi manfaat kepada 54,585 penduduk luar bandar di seluruh negara,” jelasnya.