Rentas negeri: PATI nekad sembunyi dalam bonet - Utusan Malaysia

Rentas negeri: PATI nekad sembunyi dalam bonet

WANITA warga Indonesia yang cuba bersembunyi dalam bonet kereta ditahan pihak polis dalam SJR Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Taktik seorang wanita cuba merentas negeri dengan berbaring di dalam bonet sebuah kereta untuk berjumpa suaminya tidak berhasil apabila berjaya dihidu pihak polis dalam sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Simpang Ampat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, wanita berusia 28 tahun yang ditahan merupakan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, tindakan licik itu berjaya dihidu selepas penguat kuasa terlihat wanita terbabit masuk ke bahagian belakang bonet kereta jenis Bezza berkenaan sebelum tiba di SJR.

“Curiga dengan kejadian tersebut, pasukan penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan lanjut penguat kuasa di bahagian bonet kereta tersebut sebelum menemukan seorang wanita dalam keadaan berbaring.

“Hasil soal siasat, pemandu kereta tersebut kemudian mendakwa dia melakukan perkhidmatan e-hailing dan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Rembia di sini untuk menghantar wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, pihaknya percaya, di awal perjalanan wanita tersebut duduk di bahagian penumpang belakang, namun bertindak masuk ke dalam bonet kenderaan apabila menghampiri SJR.

Jelasnya, wanita tersebut mendakwa ingin ke Rembia bagi berjumpa dengan suaminya yang juga warga Indonesia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama selepas setahun terpisah.

“Kita difahamkan tempahan e-hailing itu telah dilakukan suami dan bayaran akan dibuat sejurus selepas tiba di lokasi.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan kerana maklumat diterima setakat ini terhad ekoran wanita terbabit berada dalam keadaan pening kepala susulan berbaring di dalam bonet kereta,” jelasnya.

Katanya, polis menahan wanita tersebut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah, manakala pemandu e-hailing disiasat mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa premit sah.

Tambahnya, siasatan turut dilakukan di bawah kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan (Peraturan 15) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya