Ramai hampir muflis akibat Covid-19 - AKPK - Utusan Malaysia

Ramai hampir muflis akibat Covid-19 – AKPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 2,000 individu berdepan dengan risiko muflis setiap bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Kanan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Rohanizam Talib berkata, namun angka itu sebenarnya menurun daripada kira-kira 4,500 kes setiap bulan disebabkan adanya beberapa bantuan kewangan dan beberapa insentif kerajaan termasuk moratorium.

Namun katanya, angka bilangan individu yang meminta bantuan untuk khidmat pengurusan hutang dijangka meningkat hingga tiga kali ganda, terutamanya apabila tempoh Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar berakhir pada 30 Jun ini.

“Ketika ini, ada yang telah mula hampir habis kemampuannya untuk membayar hutang, jadi ada yang tercari-cari pihak bank untuk minta bantuan. Jadi kami juga berusaha untuk membantu sebanyak mungkin kerana dijangka bilangan yang minta bantuan nanti akan meningkat hingga dua tiga kali ganda.

“Memang ramai sebenarnya yang hampir muflis, sebab itu kami cuba sedaya upaya membantu mereka yang mempunyai tunggakan pinjaman sebelum mereka dibankrapkan. Apabila diisytihar bankrap, AKPK tidak boleh lagi membantu, sebaliknya kes mereka akan diuruskan oleh Jabatan Insolvensi,” katanya.

Dengan total lockdown bakal berkuatkuasa esok, Rohanizam berkata, AKPK sedang merancang bagaimana pihaknya dengan kerjasama bank boleh membantu mereka yang gagal membayar komitmen dan bayaran balik pinjaman.

“Akan ada sektor ekonomi yang ditutup dan tidak dapat beroperasi nanti, jadi ia tentunya memberi kesan kepada golongan peniaga dan pekerja.

“Dari segi ini, kami boleh membantu mereka yang terkesan dengan menstruktur semula bayaran pinjaman, tetapi pada masa sama membantu mereka mendapat sumber pendapatan seperti pekerjaan sambilan dan perniagaan dalam talian, jadi AKPK dapat membantu secara holistik,” katanya.

Bagaimanapun, Rohanizam menggesa orang ramai supaya berhubung segera dengan AKPK sekiranya mempunyai masalah pengurusan kewangan.

“Ada yang enggan meminta bantuan daripada AKPK kerana takut disenaraihitam, ada yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, itu yang menyebabkan mereka jatuh bankrap. Ada juga yang menyangka AKPK membankrapkan orang, itu tidak benar.

“Kami sudah membantu lebih 300,000 individu daripada terjerumus ke status muflis setakat ini, jadi lebih baik minta bantuan AKPK daripada minta bantuan ah long ataupun mana-mana pihak yang tidak sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×