PETALING JAYA: Ujian calitan Covid-19 yang dilakukan pihak kesihatan swasta wajar dikenakan harga siling memandangkan setiap ujian melalui prosedur yang sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, ujian calitan sepatutnya dianggap sebagai satu keperluan, bukan digunakan untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Malah, beliau mengakui penetapan harga siling atau subsidi meningkatkan lagi kadar saringan di negara ini.
“Kerajaan patut menggalakkan rakyat buat ujian sendiri. Bagi subsidi kos atau tetapkan harga siling.
“Kementerian Kesihatan pun sudah luluskan ujian guna air liur. Mungkin boleh segerakan edaran di pasaran,” katanya.
Buat masa ini, harga kedua-dua ujian saringan di pusat kesihatan swasta untuk Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen mempunyai harga berbeza dengan ada yang mencecah hingga RM400.
Di pusat rawatan kerajaan, ujian RT-PCR dikenakan RM150 dan ujian RTK berharga RM60 untuk warganegara manakala bukan warganegara berharga RM250 dan RM120.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula menyifatkan, perbezaan harga tidak sepatutnya berlaku kerana menyebabkan lebih ramai sanggup menunggu di pusat kesihatan kerajaan berbanding swasta, sekali gus melambatkan kadar saringan Covid-19.
“Malahan saya berharap ujian calitan Covid-19 diberikan secara percuma kepada orang kurang upaya, warga emas dan B40 iaitu mereka yang berdaftar dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak kira sama ada mereka pergi ke klinik kerajaan atau swasta.
“Ujian secara percuma ini boleh dilakukan jika pihak seperti kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan bagi menampung kos ujian ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










