Pribumi Palestin cuba dilenyapkan Zionis - Yadim - Utusan Malaysia

Pribumi Palestin cuba dilenyapkan Zionis – Yadim

DR. MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha jahat mahkamah Zionis memutuskan 12 keluarga Palestin diusir keluar penempatan tradisi di Sheikh Jarrah merupakan cubaan melenyapkan pribumi asal tanah itu.

Ia didedahkan Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang membongkar kronologi agenda terkutuk rejim Yahudi itu mahu mengusir baki daripada keseluruhan 24 keluarga di kejiranan Arab di Baitulmadqis ini sudah lama bermula sejak 1982.

“Alasan Zionis ialah, bangsa Arab ini konon bukan penduduk asal tanah itu, atau dalam erti kata lain warga Palestin dituduh bukan pribumi, benarkah begitu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Pertikaian mengenai siapa tuan tanah dalam konflik Palestin-Israel adalah sesuatu yang klasik sering kali dijadikan hujah angkuh puak Zionis bagi menghalau penduduk Arab keluar.

Konon ujarnya, nenek moyang Yahudi sejak zaman Nabi Daud (King David) telah membentuk negara monarki Israel kuno di kawasan itu yang dahulunya dikenali sebagai Kan’an (Canaan).

Padahal berdasarkan catatan silam dari kitab suci Nasrani iaitu Injil (Bible) jelas menyatakan tanah tersebut asalnya dihuni sekelompok manusia gergasi yang digelar Filistin (Philistine).

Fanatik Zionis sebaliknya kata Muhammad Faiz, menuduh konon Palestin ialah istilah ciptaan oleh Maharaja Rom, Hadrian yang menjajah kawasan itu pasca kejatuhan negara Israel kuno.

“Ia muncul akibat perpecahan Yahudi selepas Nabi Sulaiman (King Solomon) mangkat walhal fakta yang disorok ialah Palestin pertama kali disebut sejarawan Yunani bernama Herodotus.

“Tokoh Greek purba itu merujuk kawasan ini asalnya dieja Palaistine dalam catatannya hampir 500 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa (atau Jesus bagi penganut Kristian),” tegas beliau lagi.

Perkaitan antara istilah Palestin dan Filistin jelasnya, juga diakui banyak ensiklopedia Yahudi termasuklah oleh Jewish Virtual Library yang boleh diakses secara terbuka melalui internet.

Namun pada 2019, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan ekoran ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan Filistin silam berasal Eropah manakala Palestin pula dari Semenanjung Arab.

Sekali lagi masyarakat dunia dapat melihat penipuan puak Zionis bermati-matian menafikan sejarah Palestin walhal keputusan DNA kaum Filistin tidak sesekali merupakan hujah kukuh,

Mereka mahu padam perkaitan kaum silam itu dengan Palestin tetapi bagaimana pula ujian DNA terhadap genetik Arab Palestin moden? Di sinilah konspirasi Zionis bakal ‘dibogelkan’.

Beberapa kajian telah dijalankan dan antara yang terkenal ialah dari saintis genetik warga Jerman bernama Almut Nebel menerusi kertas kajian beliau diterbitkan pada tahun 2000 lalu.

“Penyelidik University College London itu membuktikan bahawa Arab Palestin adalah pribumi di kawasan itu dan menyimpulkan majoriti Palestin memeluk Islam pada abad ketujuh Masihi.

“Dalam ilmu forensik dan perubatan, ujian DNA dianggap piawai emas yang tidak boleh dinafi kerana ketepatan dan tidak tipu, tetapi Zionis pula memang penipu,” kata Muhammad Faiz.

Justeru ujarnya, Arab Palestin yang majoriti Muslim pada hari ini boleh dianggap salah satu daripada 10 kabilah Bani Israel silam yang dikatakan hilang setelah perpecahan bangsa itu.

Bahkan kata beliau, pengaruh budaya dan bahasa Arab yang dibawa bersama ajaran Islam pasca kewafatan Rasulullah SAW tidak menghilangkan kesan jejak genetik kaum berkenaan.

Tidak hairanlah jelasnya, Arab Palestin hari ini cukup berani, lasak dan degil kerana mereka bukan Arab tipikal biasa malah mewarisi baka nenek moyang sejak zaman Nabi Musa lagi.

Peperangan dan penindasan sudah menjadi darah daging mereka malah tidak seperti watak Yahudi Eropah atau Askhenazi yang membanjiri negara haram Israel moden sejak 1940-an.

Keturunan mereka itu tegas Muhammad Faiz, boleh dipertikaikan dari segi fakta sejarah bangsa Khazar (etnik Eropah silam) yang memeluk agama Yahudi pada Zaman Pertengahan.

“Fakta ini diakui pengkaji Yahudi terkenal, Shalva Weil dari Hebrew University of Jerusalem kerana Zionis tahu10 kabilah Bani Israel hilang itu bakal bersatu di Baitulmaqdis,” katanya – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN