GEORGETOWN: Model kebun kerang di Teluk Lekir, Perak yang berjaya menghasilkan benih kerang sepanjang tahun akan diperluas di Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan dengan sasaran penghasilan benih sehingga 150,000 metrik tan bernilai RM1.8 bilion menjelang 2025.
Pengarah Kanan Penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FIR), Dr. Zainoddin Jamari berkata, model berkenaan dilaksanakan di perairan Teluk Lekir pada Oktober 2018 dan membuahkan hasil memberangsangkan.
Katanya, sebanyak 23.89 metrik tan benih kerang telah didaratkan pada 2019 dengan anggaran nilai sebanyak RM3.2 juta manakala bagi tahun lepas pula, 1,200 metrik tan kerang didaratkan dengan nilai RM10.69 juta.
“Pada Januari hingga Mac tahun ini pula sebanyak 335.6 metrik tan kerang dengan anggaran nilai kerang sekitar RM8.4 juta berjaya didaratkan.
“Kita akan menggunakan model yang sama di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan bagi meningkatkan populasi kerang negara,” katanya dalam sidang akhbar di FIR, Batu Maung, di sini hari ini.
Menurut Zainoddin, jumlah pengeluaran kerang negara pada tahun lalu hanya pada kadar 16,000 metrik tan dan benih kerang tidak boleh dikeluarkan sepanjang tahun.
Bagaimanapun jelas beliau, menerusi kajian yang dijalankan oleh FIR, kehadiran benih kerang di Teluk Lekir tidak putus sepanjang tahun berdasarkan beberapa faktor antaranya keadaan air laut yang sesuai dan tidak tercemar.
“Selain itu kadar tumbesaran benih kerang di Teluk Lekir juga pantas disebabkan kehadiran sumber makanan yang padat di perairan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, faktor penggalak yang ditemukan di Teluk Lekir seperti kejutan suhu pada tempoh tertentu boleh digunakan untuk meningkatkan populasi kerang di lokasi lain yang sesuai.
“Bagi Pulau Pinang, cadangan tapak model ini sesuai dilaksanakan di kawasan Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan. Pihak kami masih menunggu makluman lanjut daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan projek ini,” katanya.