JOHOR BAHRU: Polis membongkar satu sindiket pemprosesan arak tiruan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah kilang di Jalan Idaman 1/10, Taman Desa Idaman, Senai di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, serbuan itu dijalankan pihaknya pada pukul 6.10 pagi.
Katanya, serbuan berkenaan dibuat menerusi Op Kontraban yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
“Dalam serbuan tersebut, polis menahan dua suspek yang merupakan pekerja, masing-masing seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun.
“Polis turut merampas 93 tong dram berisi 18,600 liter cecair arak tiruan, 17 gelen (340 liter) pati campuran arak dan 5,419 botol (4,138.84 liter) arak.
“Turut dirampas, sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace, lima pam air, beberapa gulung pelekat Kastam palsu dan dua mesin gerudi. Kesemua rampasan bernilai RM9.55 juta,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di kilang berkenaan, di sini hari ini.
Tambah Abd. Rahim, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menyewa premis berkenaan manakala produk yang dihasilkan dijual ke seluruh negeri.
Jelasnya, sejak 1 Januari hingga 10 Mei tahun ini, Briged Tengah PGA telah menjalankan sebanyak 52 serbuan Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Dalam kesemua operasi itu, seramai 118 suspek berusia antara 23 hingga 64 tahun telah ditahan dengan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM27 juta,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan polis komited untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman negara.
“Sehubungan itu, kami mengharapkan bantuan orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menghulurkan sebarang maklumat berkaitan kes penyeludupan yang berlaku di kawasan mereka,” katanya.