IPOH: Polis telah merakam percakapan Youtuber dikenali ‘Apit Wan Lebo’ bagi membantu siasatan video tularnya yang mengkritik cara kerajaan mengendalikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah pada pukul 11 malam semalam dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Mengkritik kerajaan mengenai PKP itu satu isu, tetapi kita dapati perkataan yang dia gunakan dalam video tersebut berbaur lucah.
“Siasatan ke atas lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang lain dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana menghina,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan berhampiran Jelapang di sini.
Menurut beliau, pihaknya akan merujuk kertas siasatan tersebut kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Sekiranya mempunyai asas, maka kita akan tuduh lelaki itu di mahkamah,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi empat minit 15 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seorang lelaki melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap kerajaan kerana melaksanakan PKP 3.0 yang disifatkan sebagai longgar berbanding PKP 1.0.