Polis Melaka khususkan peranan Pegawai Kompaun - Utusan Malaysia

Polis Melaka khususkan peranan Pegawai Kompaun

RAZALI Abu Samah (kiri) pada sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis negeri ini tidak akan memberi muka dan telah mengkhususkan peranan Pegawai Kompaun untuk mengeluarkan notis kompaun serta-merta di lokasi sekiranya terdapat individu yang mengingkari penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, Pegawai Kompaun itu merupakan inisiatif kontinjen untuk memastikan tindakan penguatkuasaan kompaun dapat dilakukan secara tegas dan efisien kepada pelaku.

“Kita telah mengkhususkan peranan Pegawai Kompaun bagi penguatkuasaan secara penuh ini.

“Apabila berlaku pelanggaran SOP, pegawai terlibat akan dimaklumkan untuk terus ke lokasi bagi menjelaskan kesalahan dan mengeluarkan surat kompaun serta-merta kepada pelaku. Pesalah kemudian boleh meneruskan urusan penyelesaian notis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini terdapat rungutan masyarakat mengenai kesulitan untuk menguruskan tindakan penguatkuasaan yang dikenakan apabila pegawai rujukan didakwa sibuk menyelesaikan tugas lain di Ibu Pejabat Polis (IPD).

“Kini kita telah mengkhususkan pegawai terlibat untuk memainkan peranan sebagai Pegawai Kompaun sahaja dan tidak terkait dengan apa-apa tugasan lain.

“Kita tidak mahu ada tohmahan lagi mengatakan urusan tindakan kompaun tidak dapat dilakukan dengan lancar susulan pegawai terbabit turut sibuk menguruskan peranan sebagai pegawai penyiasat dan sebagainya,”katanya.

Tambahnya, jumlah pegawai yang terlibat sebagai Pegawai Kompaun itu bagaimanapun bergantung kepada keperluan di bawah pengurusan Ketua Polis Daerah masing-masing.

“Kita tak menjangkakan ramai orang akan melanggar SOP ditetapkan, jadi, dalam satu-satu masa mungkin akan ada seorang atau dua Pegawai Kompaun yang akan bersedia untuk bergerak ke lokasi terlibat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya