PKR pertikai kejujuran UMNO terima DAP - Utusan Malaysia

PKR pertikai kejujuran UMNO terima DAP

SHAMSUL ISKANDAR MD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR menyokong sebarang bentuk kerjasama termasuk antara UMNO dan DAP, namun dengan syarat, ia tidak mempunyai sebarang muslihat di sebalik kerjasama tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, penjajaran baharu politik memerlukan satu gagasan politik yang menggambarkan kepelbagaian bangsa, sekali gus melahirkan sebuah kerajaan yang lebih stabil.
“Masalahnya sekarang, UMNO itu bersedia atau tidak? Jangan cakap saja bersedia, tetapi ada perkara di sebaliknya.
“Apabila bercakap tentang kepelbagaian bangsa, misalnya DAP mempunyai sokongan yang kuat daripada undi bukan Melayu. Jadi sewajarnya kalau UMNO bersedia untuk mulakan kerjasama, dia faham mengenai perkara itu, kita tak nampak sebarang masalah untuk kedua-dua parti gabungan Pakatan Harapan untuk hidangkan satu menu politik yang kuat dan rakyat boleh pertimbangkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum memberi bayangan mengenai pembentukan jajaran atau gabungan politik baharu yang dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau juga memberi bayangan bahawa ada usaha ke arah itu yang melibatkan gabungan bersama PKR dan DAP selepas mempertimbangkan kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.
Mengukuhkan fakta berkenaan, dilihat program UMNO mulai berjalan bersama DAP apabila Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menziarahi seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghidapi kanser tahap empat bersama ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming.
Turut mengimbas pemerintahan PH sewaktu ketika dahulu, Shamsul Iskandar turut berkata, contoh yang terbaik pernah dilakukan adalah penggabungan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Ketika PH buat gabungan bersama dengan Bersatu dulu, itu idea yang cuba dipaparkan mengenai kepelbagaian kaum, dan ia stabil, PH boleh jadi kerajaan boleh uruskan negara dan diyakini semua kaum.
“Tetapi apabila Bersatu mengkhianat gabungan itu, maka gabungan yang digagaskan Bersatu tidak boleh bertahan,” ujarnya lagi.
Tambah Shamsul Iskandar, penggabungan itu seharusnya menjadi ‘menu baru’ untuk rakyat bagi merampas kuasa dari kerajaan hari ini yang didakwa ternyata gagal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN