PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Panjang Dinggai, Pakan, Sarikei, Sarawak yang sepatutnya tamat esok, kini dilanjutkan kepada 19 Mei kerana masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni dan kes baharu direkodkan di lokaliti itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 21 kes positif direkodkan hasil daripada 51 ujian saringan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan di rumah panjang tersebut.
Beliau berkata, jiran lokaliti tersebut, Rumah Panjang Matthew bagaimanapun ditamatkan PKPD seperti dijadualkan pada esok selain di tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah turut berakhir esok setelah hanya merekodkan tiga kes positif Covid-19 daripada 174 ujian saringan dibuat.
“Ia melibatkan Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height yang dikenakan PKPD sejak 22 April lalu ekoran penularan kes jangkitan wabak dalam serumah,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam jatuh kepada 301 individu diberkas semalam berbanding 519 individu ditahan kelmarin.
Daripada jumlah itu, kata beliau, 293 dikompaun manakala lapan lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis.
Kesalahan tersebut ujar beliau, mencatatkan sebanyak 127 kes, diikuti mereka yang tiada memakai pelitup muka (70), tidak mematuhi penjarakan fizikal (19) dan lain-lain lagi (85).
“Sembilan pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan empat kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng manakala sebanyak 173 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui 13 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,008 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah menjalani proses mandatori itu dengan sejumlah 8,664 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib.
Seramai 1,808 individu terlibat telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 184,757 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin. – UTUSAN ONLINE