PKPD di Sekolah Sukan Kota Tinggi, 23 lokaliti di Raub - Utusan Malaysia

PKPD di Sekolah Sukan Kota Tinggi, 23 lokaliti di Raub

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Daerah Kota Tinggi, Johor bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 8 Mei hingga 21 Mei ini susulan berlaku peningkatan kes mendadak dalam tempoh seminggu dan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan sudah melakukan 212 ujian saringan dan daripada jumlah itu, seramai 96 orang didapati positif Covid-19.

Juga dikenakan PKPD secara serentak pada tarikh yang sama kata beliau, ialah sejumlah 23 lokaliti berbeza masing-masing di Sungai Ruan dan Sempalit dalam Daerah Raub, Pahang.

Antara lokaliti di Sungai Ruan ialah Taman Dahlia, Taman KSM Sungai Ruan, Taman Bunga Raya, Taman Cempaka, Taman Bunga Matahari, Taman Melor, Taman Orkid, Taman Mawar.

Taman Koperasi Mewah, Taman Melewar, Taman Mawar Impian, Taman Bunga Tanjung, Taman Bunga Angsana, Rumah Murah Sungai Ruan dan Kampung Baru Sungai Ruan.

“Tujuh lokaliti di Sempalit iaitu Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Baru, Taman Sempalit Aman, Taman Sempalit Jaya, Taman Emas, Taman Emas Baru dan Kampung Baru Sempalit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa PKPD di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Daerah Temerloh, Pahang pula ditamatkan lebih awal pada esok daripada jadual ditetapkan susulan penurunan kes dan kluster terkawal dengan kes terakhir direkodkan pada 30 April lalu dengan cuma satu kes. 

Sehubungan itu ujarnya, dengan hanya merekodkan sejumlah 12 kes positif sahaja, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD lebih awal berbanding tarikh sepatutnya ialah pada 13 Mei ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya