JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor akan menyediakan khidmat guaman secara pro-bono kepada individu yang ditahan berhubung insiden rusuhan di Parit Raja, Batu Pahat, kelmarin.
PH Johor dalam satu kenyataan memberitahu, insiden itu merupakan manifestasi rakyat Malaysia terhadap kegagalan kerajaan menguruskan isu negara ketika ini termasuklah Covid-19.
“Pemimpin PH Johor telah mengadakan lawatan dan menyatakan rasa simpati kepada tiga keluarga di mana anak mereka telah direman berkaitan insiden di Parit Raja.
“PH Johor akan menawarkan khidmat guaman pro-bono kepada mereka yang didakwa terlibat dengan insiden Parit Raja bagi membantu menghadapi saat sukar ini,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut ditandatangani bersama oleh Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Kelmarin, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan kira-kira 40 orang itu membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta di laluan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian dengan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.
Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan kerajaan menyebabkan rakyat terus tertekan dengan kos sara hidup serta pelaksanaan dasar dwi-standard yang ‘memangsakan’ survival ekonomi rakyat biasa.
“Kami juga mendesak agar kerajaan segera membuka Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor agar isu-isu dapat dibahaskan dan dasar yang membantu rakyat dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu, polis telah menahan 20 individu berusia antara 16 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan. -UTUSAN ONLINE