GEORGETOWN: Kerajaan Pusat disaran mempertimbangkan waktu operasi peniaga makanan yang lebih fleksibel di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana terdapat permohonan daripada peniaga supaya pihak berkuasa membenarkan mereka memulakan perniagaan pada pukul 6 pagi berbanding 8 pagi seperti yang ditetapkan.
“Ramai peniaga terutama di pasar menyatakan mereka mengalami kesukaran kerana waktu operasi perniagaan hanya dibenarkan bermula pukul 8 pagi.
“Oleh itu, kita memohon Kerajaan Pusat pertimbangkan tempoh masa perniagaan bermula pukul 6 pagi, iaitu diawalkan dua jam berbanding yang telah ditetapkan,” katanya selepas meninjau Tapak Penjaja Sementara (TPS) di Jalan Perak di sini hari ini.
Waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang PKP 3.0 hanya dibenarkan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Menurut Jagdeep, ketika pandemik Covid-19 melanda kerajaan perlu mencari keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan rakyat supaya kedua-dua dapat dicapai.
Dalam masa sama jelasnya, peniaga juga perlu memastikan setiap pelanggan mematuhi SOP yang ditetapkan sekiranya waktu perniagaan dibenarkan bermula lebih awal.
“Para peniaga dan pelanggan perlu terus mematuhi SOP meskipun pelaksanaannya mungkin menyukarkan ekonomi kita.
“Saya juga telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan SOP ketika melakukan pemantauan di lapangan,” katanya.