KOTA BHARU: Kira-kira 400 pengusaha bot laut dalam di Pasir Puteh dan Bachok berharap kerajaan mencari penyelesaian terhadap kerugian yang mencecah RM300 juta selepas bot mereka gagal beroperasi lebih setahun akibat ketiadaan nelayan warga asing.
Mereka mendakwa rayuan dan memorandum berkaitan yang dihantar kepada pihak kerajaan bagaikan ‘surat layang’ yang tidak berharga kerana setakat ini tiada sebarang maklum balas diterima.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil pengusaha bot laut dalam Tok Bali, Ismail Zakaria, 59, berkata, daripada 115 bot laut dalam di kawasan itu, hanya tinggal 25 bot masih beroperasi dengan selebihnya hanya tersadai.
Menurutnya, apabila Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikuatkuasakan ia jadi lebih merumitkan ditambah pula kekangan pandemik Covid-19 yang mengehadkan kemasukan warga asing ke negara ini.
“Kami telah mengemukakan rayuan kepada Jabatan Imigresen untuk membenarkan nelayan asing yang masih ada di negara ini bekerja dengan menggunakan buku pelaut sedia ada, namun ditolak dengan alasan bercanggah dengan langkah kerajaan memperkenalkan PLKS.
“Masalahnya sekarang ada kira-kira 700 nelayan asing yang terkandas gagal pulang ke negara asal tetapi terpaksa ditanggung makan minum mereka setiap hari di sekitar Tok Bali dan Bachok,” katanya di sini hari ini.
Ismail berkata, akibat kehabisan modal, beberapa pengusaha terpaksa ‘menenggelamkan’ bot masing-masing kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan dan baik pulih yang tinggi dan tidak berbaloi dengan pendapatan diterima.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Saripudin Ishak berkata, dengan tindak-tanduk pihak berkuasa ketika ini, tidak keterlaluan jika dikatakan industri perikanan laut dalam Malaysia telah ‘dibunuh’ kerajaan sendiri.
“Permasalahan nelayan di sini lebih kurang sama dengan Kuala Perlis. Langkah yang diambil oleh kerajaan menyebabkan kebanyakan bot laut dalam mengalami kerugian berlipat ganda apabila lebih setahun bot mereka tersadai,” katanya.
Tambah Saripudin baru-baru ini kerajaan dilaporkan akan membawa masuk 20,000 pekerja asing ke dalam sektor perladangan dan langkah sama sepatutnya turut menjadi penyelesaian untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyelamatkan sektor perikanan negara.
“Namun sektor ini seperti dianaktirikan tanpa pembelaan daripada menteri yang terlibat. Beliau tidak turun padang pun untuk menjenguk bot kami yang tersadai begitu lama. Kalau mahu beroperasi semula pun, perlukan duit juga untuk baik pulih sebelum turun ke laut,” katanya.
“Sekalipun, kerajaan memberi kebenaran menggunakan nelayan asing yang sedia ada di negeri ini pemilik bot masih perlu mencari dana tambahan untuk membaiki bot mereka yang tersadai sejak sekian lama.
“Di sisi nelayan, kerajaan yang ada pada hari ini seolah-olah tidak memandang pengorbanan pengusaha bot laut dalam dalam membekalkan hasil makanan negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE











