ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) bersama komuniti peniaga kedai makan dan restoran memohon kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah dalam negeri ini.
Permohonan itu disuarakan dalam memorandum yang diserahkan oleh
Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor di sini hari ini.
Menurut Mohamad Yusrizal, peniaga kedai makan dan restoran itu meminta supaya diberikan kebenaran untuk pelaksanaan konsep dine in, selain memanjangkan tempoh operasi perniagaan daripada hanya hingga pukul 10 malam ke pukul 2 pagi.
Katanya, rata-rata peniaga tersebut kekurangan jualan kira-kira 10 peratus sehari berbanding hari biasa sekiranya para pelanggan tidak dibenarkan makan di kedai makan dan restoran.
“Ini menyebabkan mereka tidak dapat menanggung kos sedia ada seperti sewa kedai, bil utiliti serta upah pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan memorandum tersebut kepada Muhammad Sanusi di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mohamad Yusrizal menambah, sekiranya kebenaran itu diberi, kesemua peniaga tersebut berjanji akan mematuhi segala SOP ditetapkan.
“Selain itu dari sudut pengguna pula, didapati ada antara orang awam yang terpaksa berbuka puasa di tepi-tepi jalan atau longkang semata-mata kerana tidak sempat pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Sekiranya diberikan sedikit kelonggaran untuk mereka menikmati hidangan di restoran walaupun dengan kapasiti terhad iaitu empat orang contohnya, ini akan setidak-tidaknya memberi kemudahan kepada pengguna,” katanya. -UTUSAN ONLINE