PARIT: Demi menggembirakan ibunya, Nor Mohd. Zakri Badarudin, 36, tidak pernah gagal untuk menghias halaman rumah insan kesayangan itu dengan hiasan pelita panjut setiap Ramadan.
Rutin itu dilakukannya sejak tujuh tahun lalu demi menggembirakan ibunya, Hasiah Ngah Bidin, 67, yang kini menderita penyakit angin ahmar.
Kata Nor Mohd. Zakri, dalam keadaan suram meraikan Aidilfitri pada ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-91, kemeriahan cahaya panjut itu sedikit sebanyak dapat menceriakan hati tua ibunya.
“Niat kami sertai pertandingan panjut bukan untuk menang atau duit, kami cuma mahu ibu gembira terutama selepas dia diserang angin ahmar sebelah kanan badan sejak setahun lalu.
“Melihat kemeriahan di halaman rumah ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan ibu tambahan lagi kakak kedua yang tinggal di Klang, Selangor tidak dapat pulang beraya disebabkan larangan rentas negeri,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Kepayang, Bota di sini selepas diumumkan juara Pertandingan Hiasan Panjut peringkat DUN Bota, semalam.
Katanya, dia mula memasang panjut pada minggu kedua Ramadan dan tahun ini sebanyak 231 panjut digunakan dengan memperuntukkan RM35 sehari untuk membeli diesel sebagai bahan bakar.
Katanya, penyertaannya dalam pertandingan itu adalah pertama bagi DUN Bota selepas kerap menyertai pertandingan peringkat kampung sebelum ini.
“Pemasangan panjut ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan keluarga malahan sesama masyarakat setempat.
“Memang banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi asalkan ibu gembira, kami akan usaha sebaik mungkin, saya juga mahu ia menjadi tradisi keluarga,” katanya.
Pada pertandingan itu, Nor Mohd. Zakri dipilih sebagai juara dengan menerima hadiah wang tunai RM500 manakala tempat kedua dimenangi Zaini Ibrahim, 58, dan Khalid Itam, 68, wang tunai RM300 dan Mohd. Hayazi Mohd. Nor tempat ketiga menerima wang RM200.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, pertandingan yang memasuki tahun ketiga itu mendapat 50 penyertaan.
“Objektif utama pertandingan ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara ahli keluarga selain memberi semangat hari raya terutamanya dalam musim pandemik,” katanya.