Pegawai kanan Maritim Malaysia didakwa terima suapan RM28,000 - Utusan Malaysia

Pegawai kanan Maritim Malaysia didakwa terima suapan RM28,000

MOHAMAD Sulhan Zainon (kiri) diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pertuduhan dibacakan di kamar Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan menerima rasuah keseluruhannya berjumlah RM28,000 daripada seorang pengarah sebuah syarikat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Kapten Maritim Mohamad Sulhan Zainon, 51, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zani.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ke-13, tertuduh didakwa menerima suapan daripada Pengarah Syarikat Aceoil Services Sdn. Bhd., Tan Zhee Wei melalui pindahan wang secara dalam talian secara bulanan ke dalam akaun bank Malayan Banking milik tertuduh sejak 2019.

Suapan itu didakwa diterima tertuduh sebagai dorongan bagi dirinya untuk tidak melaksanakan pemeriksaan ke atas kapal-kapal milik Syarikat Khun Shan Shipping Sdn. Bhd. dan Syarikat Aceoil Services Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menerima suapan sejak 19 April 2019 sehingga 27 November tahun lalu di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Ubi, dekat sini.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed mohon untuk dibicarakan bagi kesemua kes dan mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya