MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyarankan agar pasangan di negeri ini menangguhkan majlis akad nikah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, biarpun ia adalah dibenarkan, perkara itu perlu diadakan dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Katanya, justeru JAIM menasihatkan agar pasangan di negeri ini sebaiknya menangguhkan dahulu majlis akad nikah bagi bersama-sama membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.
“Majlis akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan oleh JAIM, namun pasangan disarankan menangguhkan hasrat tersebut bagi mengurangkan aktiviti merentas daerah dan negeri,” katanya.
Tambahnya, lokasi majlis akad nikah hanya dibenarkan untuk diadakan di pejabat agama Islam daerah (PAID) atau di mana-mana tempat yang ditentukan oleh JAIM sahaja.
“Pasangan tidak dibenarkan mengadakan majlis akad nikah di rumah atau premis persendirian.
“Majlis akad nikah akan diadakan pada tarikh, hari dan waktu yang ditetapkan oleh pihak JAIM. Jumlah kehadiran hendaklah tidak melebihi 10 orang termasuk jurunikah, pendaftar nikah, cerai dan rujuk, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua saksi daripada PAID atau masjid kariah,” katanya.
Jelasnya, majlis akad juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk bacaan khutbah nikah dan taklik.
“Pertukaran hantaran dalam majlls akad nikah adalah tidak dibenarkan dalam tempoh PKP ini.
“Selain itu, pengantin dan keluarga daripada daerah atau negeri yang berada dalam zon merah hendaklah menjalani ujian calitan Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah.
“Keputusan ujian calitan hendaklah dikemuka kepada jurunikah sebelum majlis akad nikah,” jelasnya.