GUA MUSANG: Orang Asli Bateq di Kampung Aring 5, di sini yang belum mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bukan kerana enggan divaksin, sebaliknya mereka tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera.
Ini terbukti apabila program pendaftaran PICK di kampung itu kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti Orang Asli di situ.
Ketua Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, penduduk tiada masalah mendaftar sebagai penerima vaksin selepas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyerahkan borang pendaftaran.
“Terdapat 400 Orang Asli di Kampung Aring 5 dan separuh daripada mereka layak menerima vaksin pada fasa kedua ini namun gagal mendaftar kerana tidak tahu menggunakan MySejahtera selain tiada telefon pintar,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Aring 5, di sini kelmarin.
Menurut beliau, setakat ini 50 penduduk sudah mendaftar manakala bakinya akan berbuat demikian secara berperingkat selepas ini.
Kata Raina, pihaknya akan memastikan semua penduduk di kampungnya mendaftar vaksin sebelum menyerahkan semua borang yang diisi kepada pihak Jakoa.
Sementara itu, suri rumah, Hamsyiah Bahyak, 34, berkata, dia mendaftar vaksin demi kesejahteraan diri dan keluarga selain berharap kerajaan tidak terlepas pandang keperluan suntikan vaksin di kawasan pedalaman.
“Kami takut ancaman Covid-19 yang semakin meningkat di luar sana. Jadi Orang Asli di sini mengehadkan pergerakan dengan tidak keluar ke mana-mana, sebaliknya berada di kampung sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










