PETALING JAYA: Wang milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM114 juta yang gagal dilucutkan hak baru-baru ini wajar diberi kepada peniaga kecil yang terkesan akibat Covid-19 dan rakyat Palestin.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi memastikan wang itu sampai kepada golongan sasaran, Najib boleh membuat sumbangan menerusi persatuan peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, langkah tersebut boleh dibuat jika Najib tidak yakin dengan integriti serta ketelusan kerajaan yang ada sekarang.
“Tindakan ini tidak merugikan atau memiskinkan bekas Perdana Menteri itu. Saya yakin, Najib boleh menyumbang lebih banyak lagi berbanding RM114 juta.
“Najib pernah menjadi Perdana Menteri dan membantu rakyat, jadi walaupun selepas tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, usaha membantu rakyat itu perlu diteruskan. Bukan sahaja RM114 juta, saya dan ramai lagi yakin lebih daripada jumlah itu Najib masih mampu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan sebelum ini gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 didakwa milik Najib.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, langkah memberi sumbangan RM114 juta juga disifatkan sebagai tindakan terbaik ketika dunia dilanda Covid-19 dan Palestin pula terus ditindas Israel
“Jika dapat sumbang lebih daripada RM114 juta itu, maka lagilah terbaik kerana rakyat negara ini dan rakyat Palestin pasti ternanti-nanti katanya,” katanya- UTUSAN










