MPHTJ perketat SOP pasar borong menjelang Aidilfitri - Utusan Malaysia

MPHTJ perketat SOP pasar borong menjelang Aidilfitri

SHADAN Othman bercakap kepada pemberita ketika hadir pada program Lawatan Tapak Projek Kitar Semula Bahan Sisa Jualan Pasar Borong, Melaka, hari ini. -UTUSAN/SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Borong MPHTJ bermula 10 hingga 12 Mei depan.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, langkah tersebut bertujuan mengelakkan orang ramai menyerbu dan datang dalam kumpulan yang besar sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Tegas beliau, bilangan anggota penguat kuasa juga akan ditambah bagi memantau dan menyemak jumlah kehadiran pengunjung serta pematuhan SOP yang ditetapkan.

“Hanya dua pintu utama akan dibuka bagi keluar masuk, satu pintu kecil untuk keluar dan 10 pintu lain akan ditutup. Kami juga mengehadkan kemasukan pengunjung seramai 250 orang pada satu-satu masa dengan dibekalkan pas bernombor.

“Selebihnya, perlu beratur di luar mengikut jarak satu meter yang telah ditandakan,” katanya kepada pemberita pada program Lawatan Tapak Projek Kitar Semula Bahan Sisa Jualan Pasar Borong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Puan Seri Dr. Halila Faiza Zainal Abidin; Naib Presiden Kanan, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Mariatini Othman dan Pengarah Urusan Syarikat SIS Resources (M) Sdn. Bhd., Datuk Kenny Siang Eaw Keong.

Tambah Shadan, waktu operasi pasar borong tidak berubah dan mula dibuka pukul 6 pagi hingga 10 pagi sepanjang tiga hari tersebut.

Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai merancang pembelian dari sekarang dan tidak datang berpusu-pusu ke pasar borong pada saat akhir.

“Pihak pengurusan pasar telah diarahkan supaya sentiasa membuat pengumuman SOP, penjagaan jarak ketika berada di kawasan pasar,” jelasnya.

Pasar borong MPHTJ akan beroperasi seperti biasa pada 15 Mei. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya