SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) baru-baru ini menyumbang RM200,000 sebagai dana permulaan pembinaan sebuah surau di Taman Tiara Sendayan, dekat sini.
Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Kong Soon berkata, Taman Tiara Sendayan merupakan antara kawasan pembangunan perumahan yang sedang pesat dilaksanakan oleh syarikat berkenaan dan bakal menjadi sebuah perbandaran baru yang terancang serta tersusun.
Sehubungan itu jelasnya, Matrix Concepts amat prihatin keperluan penduduk kawasan berkenaan termasuk bagi pembinaan sebuah surau sebagai tempat ibadah umat Islam.
“Surau ini akan memainkan peranan sebagai pusat ibadah umat Islam di kawasan ini dan secara tidak langsung sebagai pusat komuniti bagi membentuk sahsiah masyarakat.
“Adalah menjadi harapan kami agar sumbangan ini sebagai dana permulaan kepada tabung pembinaan surau yang telah ditubuhkan bagi memastikan penyediaan tempat yang selesa untuk melakukan ibadah,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan cek pembinaan surau Tiara Sendayan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini.
Kong Soon menyerahkan cek tersebut kepada Pengerusi Penaja Surau Tiara Sendayan, Shahrizaila Khairuddin dan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam pada itu, menurutnya, sumbangan itu juga selari dengan visi korporat syarikat berkenaan dalam sumbangan bagi membina tempat-tempat beribadah dalam kawasan pembangunan yang dilaksanakan.
“Ia juga sebagai manifestasi agenda kami untuk menyokong dasar kerajaan dalam memastikan asas pembinaan masyarakat yang mempunyai akhlak sikap mulia dengan mempunyai asas agama yang kukuh.
“Selain itu, ia selaras dengan prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, yang menjadi salah satu tunjang kemanusiaan di negara kita ini dan asas kepada keharmonian kehidupan pelbagai kaum,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, inisiatif memenuhi tanggungjawab korporat yang dilakukan oleh Matrix Concept tersebut akan menjadi contoh semua pihak dalam membantu kerajaan dan masyarakat dalam menyediakan kemudahan bagi keselesaan rakyat.










