'Mangkuk tingkat' makanan bantu ceria penduduk sambut Aidilfitri - Utusan Malaysia

‘Mangkuk tingkat’ makanan bantu ceria penduduk sambut Aidilfitri

NAZRI Ngah (depan tiga dari kiri) bersama sukarelawan UMNO Jerantut dan ahli JKKK bersedia dengan mangkuk tingkat berisi makanan untuk disumbangkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di PPMS Kampung Bukit Rang, di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Denyut kesusahan penduduk yang kurang berkemampuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri turut dirasai oleh wakil rakyat setempat apabila turun memberi sumbangan juadah berbuka puasa dan hari raya menerusi Program Mangkuk Tingkat, Majlis Kebajikan Negeri Pahang (Makpen) di Perumahan Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kampung Bukit Rang dekat sini hari ini.

Sumbangan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah membabitkan 10 buah keluarga yang kurang berkemampuan di PPMS Kampung Bukit Rang dengan menyumbangkan rendang ayam, rendang daging dan sayur.

Menurut Nazri, program dibiayai oleh Makpen itu diadakan setiap tahun untuk membantu menceriakan keluarga terlibat berbuka puasa hari terakhir pada 30 Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kita memilih keluarga tersebut di PPMS Kampung Bukit Rang, iaitu sebuah penempatan keluarga miskin sejak 10 tahun lalu untuk menyampaikan sumbangan makanan pada hari terakhir bulan Ramadan tahun ini.

“Penggunaan ‘mangkuk tingkat’ untuk mengisi makanan sebagai konotasi budaya masyarakat Melayu Pahang sejak dahulu ketika bersedekah (menghantar) makanan kepada jiran dan orang miskin menggunakan bekas ini bagai lambang silaturahim dan hidup saling bantu-membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Rang, dekat sini hari ini.

Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar berkata, program kebajikan membantu keluarga yang memerlukan merupakan aktiviti terakhir pada bulan Ramadan tahun ini sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.

“Sebelum ini, kita telah menyumbangkan bantuan barang keperluan dapur dan wang tunai sempena bulan Ramadan kepada JKKK, pengurusan masjid, pemimpin pertubuhan kerajaan (NGO) setempat, anak yatim, warga emas dan mereka yang memerlukan menerusi dana kerajaan negeri dan UMNO Jerantut,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan, Arzami Jaafar berkata, dia terharu menerima sumbangan mangkuk tingkat berisi makanan sekali gus lega kerana dapat meringankan perbelanjaan persiapan juadah berbuka puasa dan sajian untuk ahli keluarga berhari raya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat menerusi sumbangan ini dapat memberikan keselesaan ahli keluarga memandangkan tekanan kekurangan pendapatan sejak penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya