Malaysia perlu isytihar Israel negara apartheid - Utusan Malaysia

Malaysia perlu isytihar Israel negara apartheid

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan didesak untuk mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara apartheid secara rasmi berdasarkan jenayah perang dan penjajahan terhadap Palestin sejak enam dekad lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai dasar luar yang jelas dan bebas, pendirian Malaysia harus lebih lantang. 

Menurut beliau, ia juga seharusnya menjangkaui kecaman semata-mata kerana kecaman dan kutukan dunia tidak memadai.

“Buat masa sekarang, kita mesti fokus kepada dua perkara prinsip, iaitu menyemak semula dasar two-state solution selari dengan aspirasi rakyat Palestin dan kedudukan semasa di Malaysia.

“Kedua, kita perlu mengisytiharkan secara rasmi Israel sebagai negara apartheid. Keputusan ini berdasarkan kebiadaban Israel dalam operasi pembantaian serta keganasan yang berterusan oleh rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, dengan mengakui Israel sebagai rejim apartheid, ia akan mengubah kedudukan rejim itu dalam forum dunia dan memberi kesan yang lebih serius.

“Antara kesannya seperti pemutusan hubungan diplomatik dan larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik dan lain-lain. Perkara ini akan memberi tamparan serta tekanan yang jelas.

“Kita mesti ambil langkah lebih tegas dan radikal dengan mengisytiharkan bahawa Israel adalah negara apartheid secara rasmi, ia tidak boleh bersifat kecaman secara bermusim,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan akan mengambil langkah yang lebih jelas, tegas dan radikal dalam isu ini kerana ia akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukan tatkala rakyat Palestin diperlakukan dengan kejam oleh rejim pengganas yang tidak berperi kemanusiaan.

“Tahniah kepada seluruh masyarakat Malaysia yang cakna akan isu ini dan bersama-sama menyumbang untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman serta bantuan kepada rakyat Palestin dalam kapasiti kita sebagai orang awam,” ujarnya.  – UTUSAN  ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya