Lori tiada cukai jalan 12 tahun ditahan dalam Op Perdagangan - Utusan Malaysia

Lori tiada cukai jalan 12 tahun ditahan dalam Op Perdagangan

AHMAD Adnan Basri (kanan) menunjukkan keadaan lori muatan sawit yang uzur dan tayar botak pada pemeriksaan timbang berat kenderaan itu di IPD Hilir Perak di Teluk Intan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebuah lori yang tiada cukai jalan sejak 12 tahun lalu antara 10 kenderaan berat yang ditahan dalam Op Perdagangan (timbang berat) di beberapa lokasi di Hutan Melintang dan Teluk Intan hari ini.

Operasi bermula pada pukul 8 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam operasi tersebut, kebanyakan lori yang ditahan membawa lebih muatan daripada jumlah had yang dilesenkan.

Katanya, pelbagai kesalahan lalu lintas lain turut direkodkan ke atas pemandu dan syarikat termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, salah guna permit dan beroperasi ketika permit ditahan.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) kerana cukai jalan lori muatan sawit yang dipandunya telah tamat sejak 12 tahun lalu.

“Lelaki yang memiliki lesen memandu itu cuba melarikan diri semasa operasi namun gagal dan berjaya diberkas,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Hilir Perak di sini.

Menurut beliau, pihak polis menyita lima kenderaan berat dan mengelurkan 18 saman membabitkan kesalahan muatan bahaya dan lebih had maksimum, tayar botak, tiada segitiga keselamatan, tiada lesen memandu, tiada lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dan tiada lesen kenderaan motor (LKM).

Katanya, kesemua 10 pemandu lori yang ditahan merupakan warga tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (lebih muatan) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita ada juga menerima maklumat mengenai pemandu warga asing namun tiada tangkapan setakat ini dan kita akan meningkatkan operasi daripada semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Ahmad Tarmizi Saad berkata, semasa operasi dijalankan, pihaknya mendapati masih ada kawalan tonto yang akan memberi maklumat kehadiran pihak berkuasa kepada pemandu lori.

“Seperti operasi ini, sebaik sahaja kita keluar dari Tapah, kita dapati sudah ada enam tonto. JPJ mengambil maklumat dan akan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN