Lebih 3,000 premis diarah tutup di Pulau Pinang sejak Mac tahun lalu - Utusan Malaysia

Lebih 3,000 premis diarah tutup di Pulau Pinang sejak Mac tahun lalu

JAGDEEP Singh Deo (tengah) dalam sidang akhbar selepas meninjau pematuhan SOP Covid-19 di Pasar Awam Tanjung Bungah, Pulau Pulau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 3,276 premis di Pulau Pinang diarah ditutup sejak Mac tahun lalu selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah premis yang ditutup itu masing-masing melibatkan 1,657 di bahagian pulau manakala 1,619 di Seberang Perai. 

Jelas beliau, premis-premis yang diarahkan tutup tersebut antaranya adalah pasar awam, pusat penjaja, restoran, pusat hiburan dan sebagainya. 

“Pemilik premis telah diberi nasihat terlebih dahulu, sekiranya mereka masih gagal mematuhi SOP arahan penutupan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan orang awam ketika pandemik ini terjamin,” katanya selepas menjalankan tinjauan di Pasar Awam Tanjung Bungah, di sini hari ini. 

Menurut Jagdeep, dengan kadar peningkatan jangkitan yang mendadak baru-baru ini, beliau telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini meningkatkan operasi bagi memastikan semua SOP dipatuhi. 

“Selepas bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Rabu lalu, pemantauan telah ditingkatkan oleh agensi penguatkuasaan di premis-premis awam bagi memastikan tiada pelanggaran SOP. 

“Sebagai kerajaan negeri, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan pemantauan dijalankan dan bagi rakyat pula mereka perlu terus berdisiplin dan mematuhi arahan,” katanya. 

Dalam pada itu Jagdeep berkata, jumlah kes baharu Covid-19 di negeri ini terus mencatatkan peningkatan dengan semalam merekodkan sebanyak 266 kes. 

Secara keseluruhan jelasnya, kes positif Covid-19 di negeri ini sehingga kini adalah sebanyak 23,253 dengan kes aktif  sebanyak 1,796. 

“Kita tidak boleh terus leka, Covid-19 masih berleluasa di merata-rata tempat, kita mesti menang peperangan ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya