CAMERON HIGHLANDS: Laluan alternatif utama atau laluan tambahan di Cameron Highland dijangka akan merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kajian terperinci sedang dilaksanakan untuk pembinaan laluan itu dengan mengambil kira keutamaan kesan kepada alam sekitar.
Beliau berkata, keperluan dan kepentingan penjagaan alam sekitar tidak akan dikorbankan dalam apa jua pembangunan setempat yang dirancang.
“Laluan tambahan yang dalam perancangan itu termasuklah bermula dari Ringlet ke Tanah Rata dan bermula dari Kampong Raja ke Brinchang.
“Ini kerana laluan yang ada kini terlalu padat dengan kenderaan terutama di hujung minggu apabila ramainya pengunjung luar yang bertandang di kawasan peranginan seperti di Cameron Highlands ini.
“Kita jangkakan dengan adanya laluan tambahan atau jalan alternatif ini akan melancarkan perjalanan ke lokasi seperti Brinchang dan Tanah Rata yang terlalu popular dengan produk produk pelancongan yang sedia ada,” katanya selepas majlis pembukaan Hotel Zenith Cameron di Tanah Rata di sini semalam.
Hotel Zenith Cameron merupakan rangkaian ketiga dibuka selain daripada di Putrajaya dan Kuantan.
Yang hadir sama, Pengerusi Hotel Zenith Cameron, Tengku Arif Temenggung Tengku Fahd Muadzam Sultan Ahmad Shah, Pengerusi Eksekutif Zenith Aim Sdn. Bhd., Datuk Seri Tew Kim Thin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor.
Wan Rosdy berkata, berdasarkan statistik, Cameron Highlands masih mengekalkan sebagai tempat ketiga menerima kunjungan pelancong teramai selepas Genting Highlands dan bandar Kuantan dengan catatan pelancong seramai lebih 700,000 orang berbanding 3.38 juta di Genting Highlands dan 1.62 juta di Kuantan.
Beliau berkata, ini bermakna Cameron Highlands masih merupakan tempat peranginan popular dan kunjungan mereka merupakan penjanaan ekonomi setempat.
Menurutnya, dengan adanya hotel baru di sini, ia membuktikan bahawa pihak pemaju dan pengusaha sektor hospitaliti dan pelancongan mempunyai keyakinan penuh dengan perkembangan industri pelancongan di negeri ini.
“Apa yang penting semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa ketika beroperasi demi menjaga kesihatan dan mengelakkan dijangkiti pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE