MELAKA: Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) lembam ditemukan lemas selepas keluar mengikut abangnya bersama dua rakan lain bermandi-manda di Sungai Tambak Paya di sini, petang tadi.
Mayat mangsa, Muhammad Faris Firdaus Mohd. Sabri, 11, berjaya ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 4.50 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Azfanizar Ahmad berkata, hasil soal siasat kesemua saksi termasuk abangnya, mangsa dikatakan terkapai-kapai selepas terjun ke dalam sungai itu kira-kira pukul 3.40 petang.
“Ketika kejadian, abang mangsa berusia 18 tahun turut terjun bagi menyelamatkan adiknya, namun gagal.
“Dia kemudian bertindak meminta bantuan orang awam yang lalu di kawasan tersebut untuk menghubungi pasukan bomba dan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil serta Melaka Tengah tiba di lokasi pada pukul 3.50 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
“Pasukan PPDA bomba berjaya menjumpai mangsa pada jarak lebih kurang 15 meter daripada jarak tempat dia terjun.
“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Mangsa yang merupakan pemegang kad OKU lembam adalah korban ketiga selepas kejadian pertama yang meragut nyawa dua kanak-kanak berusia sembilan tahun di tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling, lewat petang semalam.
“Kami ingin mengingatkan kepada ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak masing-masing bagi mengelak tragedi seperti ini berlaku lagi,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE