Kluster kilang: PKPD perlu dilaksanakan - Utusan Malaysia

Kluster kilang: PKPD perlu dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara menyeluruh perlu dilaksanakan kepada semua kluster kilang.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam satu kenyataan berkata, semua pekerja asing perlu diletakkan di dalam hotel bajet yang terdapat di daerah atau tempat asrama pekerja selama tempoh PKPD dilaksanakan.

Katanya segala kos perlu bagaimanapun ditanggung oleh majikan terbabit.

“Tiada kompromi kerana kegagalan majikan terbabit telah mengakibatkan implikasi yang amat serius yang perlu ditanggung oleh sekalian rakyat Malaysia yang lain. Sekiranya mana-mana majikan yang membuat kesalahan berulang, maka tempoh penutupan akan dilakukan sekali lagi.

“Tindakan tegas termasuk denda ke atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) terhadap majikan kilang berkenaan perlu dikenakan tanpa kompromi demi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, DPMM berkata, kerajaan perlu melaksanakan moratorium segala pinjaman sewaan dan subsidi upah selama enam bulan bermula Mei sehingga Oktober.

Semua bentuk pinjaman yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Peminjam Berlesen termasuk Penjualan Secara Kredit tanpa membabitkan caj tambahan.

Tambah DPMM, waktu bekerja dan berniaga secara anjal juga perlu diperkenalkan sebagaimana negara lain lakukan sebelum ini seperti Jepun, Korea, China dan Singapura.

“Operasi anjal telah digunakan dalam pengaturan pergerakan massa dan kegiatan harian. Sebagai contohnya pergerakan masuk/pulang kerja boleh ditetapkan daripada pukul 7.30 pagi sehingga 8.30 pagi atau 9 sehingga 10 pagi.

“Bagi waktu pulang pula pelaksanaan masa seperti dari pukul 4 hingga 5 petang; 5.30 hingga 7.30 petang atau masa seterusnya mengikut anjakan setiap dua jam kepada semua tempat kerja atau tempat berniaga bagi mengelakkan orang berpusu-pusu,” jelasnya.

Di samping itu, kerajaan turut disyorkan menetapkan tempoh tindakan krisis Covid-19 sehingga 31 Disember 2023.

“Ini membolehkan semua pihak membuat perancangan serta perlaksanaan PKP secara berkala,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN