Kes positif boleh cecah 13,000 sehari dalam tempoh dua minggu lagi - Utusan Malaysia

Kes positif boleh cecah 13,000 sehari dalam tempoh dua minggu lagi

NOOR Hisham Abdullah berkongsi gambar seorang petugas barisan hadapan yang duduk kepenatan kerana menjalankan tugas menangani kes Covid-19 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 boleh melonjak kepada 13,000 kes dalam sehari pada 14 Jun ini mengikut unjuran nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) pada 1.2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu tidak mustahil boleh dicapai jika orang ramai masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kata beliau, unjuran kes itu kemungkinan berlaku dalam tempoh dua minggu lagi dan ia bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula esok.

Semalam, negara mencatatkan sebanyak 6,999 kes baharu penularan wabak Covid-19 turun sedikit berbanding 9,020 yang dicatatkan tertinggi dalam sejarah sehari sebelumnya dengan nilai Rt pada kadar 1.12.

Selangor terus mencatatkan kadar jangkitan tertinggi dengan 2,477 kes manakala kedua tertinggi adalah Kelantan yang merekodkan 612 kes.

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di negara ini dengan jumlah kes harian sudah mencecah melebihi 9,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. 

Setakat hari ini, seramai 2,729 orang meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat selain kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pantas.

Sistem kesihatan negara semakin kritikal dengan jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital-hospital Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) semakin berkurangan dan berkemungkinan tidak mencukupi.

“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda.  Bantulah kami untuk bantu anda dan keluarga,” kata beliau menerusi Facebook hari ini. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya