Kejayaan Shu Wei jadi inspirasi - Agong - Utusan Malaysia

Kejayaan Shu Wei jadi inspirasi – Agong

agong
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH puji pelan jaga kesihatan mental rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar Malaysia, Cheryl Chow Shu Wei kerana dinobatkan Top In The World  bagi mata pelajaran Kimia di dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education, baru-baru ini.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita dan bangga di atas pencapaian cemerlang Shu Wei dan ia sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Kata kenyataan itu lagi, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan semoga kejayaan Shu Wei menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar dan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang masing-masing.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Shu Wei dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada  masa hadapan.

“Sesungguhnya kejayaan Shu Wei sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan pelajar dan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa. Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.

Shu Wei, 17, merupakan pelajar Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai memperoleh pengiktirafan daripada Cambridge Assessment International Education setelah berjaya mengenepikan hampir sejuta pelajar lain dari seluruh dunia semasa acara Outstanding Cambridge Learner Awards, baru-baru ini.

Beliau memperolehi markah piawaian tertinggi dalam peperiksaan IGCSE bagi mata pelajaran Kimia.

Selain itu, Shu Wei pernah dinobatkan sebagai peserta terbaik di acara Mangahigh East Asia Maths Challenge 2019 mengatasi seramai 14,240 orang pelajar dari Jepun, Korea Selatan, Singapura dan negara-negara sekitar Asia Timur.

Beliau turut pernah memperolehi pingat emas di acara Kangaroo Math Competition peringkat kebangsaan dan di pertandingan University of St Andrews Competition juga pada tahun 2019.

Pada dua tahun berturut-turut iaitu 2019 dan 2020, beliau turut dianugerahkan pingat emas di dalam Queen’s Commonwealth Essay Competition.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN